UECSB

Kerjasama UECSB-Regent College-Kolej ASTIN

Date : 10 April 2017

Venue : EDC Hotels & Resorts

 

KERJASAMA UECSB-REGENT COLLEGE-KOLEJ ASTIN TAMBAH PELUANG PENDIDIKAN PELAJAR

UUM ONLINE: Kesepakatan untuk memberi peluang belajar kepada pelajar yang tidak mendapat tempat di Universiti Awam (UA), Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) telah memeterai dua Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Regent College dan Kolej ASTIN, petang tadi.

MoA pertama ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif UECSB, Prof Madya Dr Fairol Halim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Regent College, Dato' Dr Nelson Renganathan, diikuti MoA kedua bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kolej ASTIN, Abdul Rahman Kisbi di EDC Hotels & Resorts.

Prof Madya Dr Fairol berkata, MoA itu adalah signifikan dan bertujuan menyediakan platform persediaan kepada pelajar yang tidak mendapat tempat untuk menyambung pengajian di UA berikutan tempat yang terhad.

Menurutnya, kerjasama itu juga adalah bagi menambah peluang pendidikan pelajar dalam negara ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memenuhi pasaran tenaga mahir dalam bidang profesional.

"Program kerjasama dalam Diploma Eksekutif dan Ijazah Sarjana Muda ini dilihat mampu menjana pelbagai peluang  yang memberi impak positif terhadap kejayaan dan kemajuan organisasi terlibat.

"Selain memberi pendidikan berkualiti tinggi, pelajar juga dapat pengetahuan luas dan mengembangkan kemahiran diri," katanya.

Tambah beliau lagi, program kerjasama itu dianggap satu tindak balas kepada teras keenam dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat dan menjadikan pendidikan akses kepada orang ramai.

Ujarnya, diharap kerjasama dengan dua kolej swasta itu dapat meningkatkan peratusan jumlah pelajar berkemahiran tinggi dan profesional dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Dato' Nelson Renganathan berkata, kerjasama itu adalah satu permulaan baharu bukan hanya untuk Regent College, malah komuniti setempat di sekitar Lembah Klan dan kawasan sekitarnya.

Katanya, beliau gembira mendapat peluang bekerjasama dengan UUM khususnya yang dikenali sebagai universiti pengurusan terkemuka di negara ini serta pencapaiannya dalam meraih AACSB.

"Regent College telah memilih rakan kongsi yang terbaik untuk kerjasama ini dalam usaha membangunkan satu program khas dalam bidang pendidikan.

"Saya berharap kerjasama ini akan berterusan untuk pembangunan program seterusnya," ujar beliau.

Bagi Abdul Rahman pula, UUM merupakan universiti ketiga selepas USM dan UNITEN bekerjasama dengan Kolej ASTIN.

Menurutnya, kerjasama dengan UUM menerusi program Ijazah Sarjana Muda diharap dapat meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran dalam melahirkan graduan cemerlang pelbagai bidang.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif UMHSB, Suardi Mohamed Zakaria dan pegawai-pegawai kanan Regent College serta Kolej ASTIN.

 

 

Weblinks

UMHSB  MSC MAMPU    MQA    UUM    KPT

You are here: Home Gallery Kerjasama UECSB-Regent College -Kolej ASTIN